Malaysia terkenal dengan kepelbagaian budaya dan adab resam yang berbeza namun perbezaan yang terdapat ini tidak sedikitpun menghalang wujudnya satu elemen kesatuan dalam negara kita. Menurut J.S. Furnival dalam Ruslan Zainuddin (2004) mendefinisikan masyarakat majmuk merujuk kepada sebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum yang mengamalkan budaya, agama, bahasa, adat resam dan cara hidup yang berbeza. Hal ini jelas sekali dapat dilihat dalam masyarakat Malaysia hari ini yang dimonopoli oleh tiga kaum iaitu masyarakat Melayu, Cina dan India.
Sejarah membuktikan suatu masa dahulu, pada abad ke-19 menjadi titik tolak pertembungan budaya dan agam di Tanah Melayu apabila kemasukan imigran Cina dan India diperkenalkan oleh pihak British. Mengikut statistik, Negeri-Negeri Selat mencatat bilangan tertinggi dari segi kemasukan imigran Cina ini. Menurut Ranjit Singh Malhi (1985), pada Tahun 1820 terdapat 8,300 orang Cina di Pulau Pinang manakala pada Tahun 1822 terdapat 1,150 orang Cina di Singapura. Bilangan imigran Cina di Melaka pula pada Tahun 1826 ialah seramai 4,100 orang. Keadaan ini menunjukkan kepesatan penghijrahan imigran Cina ke Tanah Melayu, khususnya Negeri-negeri Selat akibat daripada kepesatan ekonomi era penjajah British di Tanah Melayu.
Johor merupakan sebuah negeri yang amat kaya dengan penanaman gambir dan lada hitam. Sejak Tahun 1844 lagi, pentadbiran Kerajaan Johor di bawah pemerintahan Temenggung Daeng Ibrahim telah membawa satu perkembangan yang cukup pesat dan terkemuka di Nusantara mendahului Singapura dan Kepulauan Riau. Atas kebijaksanaan corak pentadbiran Kerajaan Johor, satu sistem yang dikenali sebagai Sistem Kangcu telah diperkenalkan di negeri Johor. Sistem Kangcu ialah perkataan Teochiew yang membawa maksud Ketua Petempatan Cina manakala Kerajaan Johor pula menggunakan istilah Tuan Sungai. Melalui sistem ini satu perjanjian yang dikenali sebagai ‘Surat Sungai’ telah ditandatangani iaitu memberi kebenaran secara sah kepada kaum Cina untuk tinggal dan mengerjakan pertanian dan pembangunan tanah mengikut syarat-syarat yang ditetapkan dalam surat tersebut. Hal ini sekali gus telah mengangkat imej Johor sebagai negeri terkaya dan termaju dari segi ekonominya dan bersistematik dalam konteks pentadbirannya melalui usaha-sama atau ‘joint venture’ yang baik antara pembesar Melayu dan pelabur Cina.
Hari ini membuktikan bahawa, perpaduan yang terjalin bukan sekadar sebuah perlembagaan tetapi berupaya mencetuskan keharmonian sosial, kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi yang cukup pesat sejak berdekad lamanya. Kaum Cina yang merupakan kaum kedua terbesar negara ini kebiasaannya menganut agama Buddha atau Kristian. Mereka mempunyai tiga dialek yang berbeza iaitu Hokkien, Kantonis dan Mandarin yang mengamalkan adat resam seperti yang diamalkan di Tanah Besar Cina. Perayaan utama masyarakat ini pula umum mengetahui mereka akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina pada setiap tahun.
Tahun Baharu Cina turut juga di kenali sebagai Tahun Baharu Qamari atau Perayaan Musim Bunga kebiasaannya disambut oleh penganut yang beragama Buddha terutamanya di Asia Timur pada hari pertama kalender qamari Cina. Perayaan ini akan menghimpunkan keseluruhan ahli keluarga dan akan dimulakan dengan juadah jamuan sekeluarga atau dikenali sebagai “makan besar”. Masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin akan menjadi juadah utama.
Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ‘ang pau’ dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum berkahwin. Tarian naga atau tarian singa akan dipersembahkan, dengan kereta berhias dan paluan gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baharu Cina akan ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei atau perayaan tanglung.
Di negeri Johor, masyarakat Cina bukan sahaja meraikan Tahun Baharu Cina malah terdapat juga sambutan perayaan Perarakan Chingay Kuil Kuno Johor yang diraikan setiap tahun pada hari ke-21 bulan pertama kalendar Lunar Cina. Sebagaimana yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak semasa sabutan perayaan Chingay diadakan di Johor Bahru pada tahun 2012, perayaan ini diiktiraf juga sebagai warisan kebudayaan kebangsaan malah akan diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai warisan kebudayaan dunia. Acara ini merupakan acara tahunan sejak 146 tahun yang lalu dengan penglibatan sebanyak 5 kaum utama Tionghua iaitu Hainan, Kantonis, Hakka, Hokkein dan Teochew. Antara negeri lain yang turut sama meraikan perayaan Chingay ini juga termasuklah Pulau Pinang dan Sarawak.
Melalui kepelbagain etnik dan budaya ini, permuafakatan secara tidak langsung dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa melalui majlis rumah terbuka masyarakat Cina yang dihadiri oleh pelbagai kaum. Majlis rumah terbuka Malaysia sempena Tahun Baharu Cina telah diiktiraf sebagai perayaan utama di Malaysia sejak tahun 2001 yang bermatlamat untuk mengeratkan perpaduan dan keharmonian kaum walaupun berbeza ideologi, pendapat, kelainan politik dan agama yang dianuti.
Kita seharusnya bersyukur kerana Malaysia tidak pernah menghalang apa-apa sahaja perayaan atau sambutan yang berbeza daripada masyarakat Melayu asalkan sahaja tidak menimbulkan isu sensitif yang melibatkan perkauman atau perpecahan. Malah, perayaan yang berbeza ini turut sama disambut dan dihadiri oleh etnik-etnik lain iaitu Melayu dan India.
Budaya yang disambut di negara kita ini jelas sekali berbeza dengan negara lain. Sebagai contoh, kita lihat negara jiran iaitu Brunei yang telah mengeluarkan arahan keras peraturan baharu supaya mengharamkan tarian singa dipersembahkan secara meluas. Tarian tersebut hanya boleh dipersembahkan di tokong, dewan sekolah dan rumah-rumah anggota persatuan Cina sahaja. Larangan keras membakar mercun dan bunga api turut dinyatakan oleh Sultan Brunei. Hal ini menunjukkan betapa kepimpinan Malaysia cukup berlapang dada dalam menerima sambutan perayaan bangsa lain manakala sikap toleransi antara kaum membolehkan perayaan Tahun Baharu Cina ini disambut tanpa halangan.
Kerajaan amat menggalakkan budaya kunjung-mengunjung semasa musim perayaan diteruskan dan diperkukuh agar integrasi nasional antara kaum ini tidak pupus ditelan dek zaman. Melalui amalan ini, kita dapat melihat keperihatinan masyarakat Cina dalam menyediakan juadah halal khas untuk masyarakat Melayu. Mereka sedar dan sensitif terhadap isu halal kepada masyarakat Melayu, justeru membuktikan keperihatinan masyarakat Cina dan sekali gus dapat memupuk elemen perpaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat.
Pelan Tindakan Perpaduan & Integrasi Nasional telah dirancang oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Pelan Tindakan ini merupakan rancangan lima tahun yang merancang pelbagai usaha untuk memupuk dan mempertingkatkan perpaduan dan integrasi nasional. Antara galakan yang diseru oleh Kerajaan adalah dengan menjaga budi bahasa serta akhlak dalam pergaulan. Perbezaan agama serta kepercayaan bukanlah halangan dalam mencapai muafakat yang sering diseru oleh YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin.
Berdasarkan Statistik Data Asas Negeri Johor 2014, masyarakat Cina merupakan kaum kedua tertinggi yang menetap di negeri Johor dengan jumlah 1,069,900 daripada jumlah keseluruhan penduduk negeri Johor iaitu 3,515,300 orang. Dengan kepadatan penduduk di negeri Johor saya percaya elemen perpaduan harus dipupuk sejak kecil lagi terutamanya dalam sistem pendidikan. Baru-baru ini telah menjadi viral melalui laman media sosial berikutan SJK(C) Pai Chee, Mersing iaitu isu perkauman antara guru Cina dan guru Melayu di sekolah tersebut. Kita tidak mahu isu-isu sebegini meruntuhkan perpaduan dan meningkatkan sentimen negatif kepada pelajar dan mencemari institusi pendidikan di Malaysia.
Jika kita imbas kembali peristiwa berdarah 13 Mei 1969, sejarah hitam yang menjadi titik tolak pengajaran untuk kita supaya peristiwa seumpama ini tidak berulang. Kita wajar memperkuat perpaduan antara kita hari ini, dalam nada yang sama, seiring dan sekata. Konklusinya, sambutan perayaan pelbagai kaum di Malaysia dapat merealisasikan impian Perdana Menteri kita dalam memacu konsep 1Malaysia. Melalui pelbagai perayaan,perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dipertingkatkan.